fbpx

Telur buaya halal, harus dimakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Semua jenis telur adalah halal dan harus dimakan termasuk telur buaya, melainkan terdapat dalil menyatakan sebaliknya seperti ia memberi mudarat kepada pemakannya dan seumpamanya.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, hukum memakan telur buaya dibahagikan kepada dua perbahasan.

“Pertamanya, jika buaya termasuk dalam jenis haiwan yang halal dimakan, maka telurnya juga tidak syak lagi adalah suci dan halal dimakan. Perkara ini bertepatan dengan kaedah: (Hukum bagi) yang mengikut itu mengikut (hukum bagi yang asal) (lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, 1/117).

“Berdasarkan kaedah ini, jika buaya termasuk dalam jenis haiwan air yang halal bangkainya, maka kita diharuskan untuk mengambil manfaat dengan seluruh bahagian anggotanya.

“Ia seperti daging, kulit, ekor, mata dan lain-lain, termasuklah telurnya selagi mana ia bukan najis dan tidak memudaratkan,” katanya menerusi soal jawab agama pada laman web Maktabah Al-Bakri hari ini.

Bagi perbahasan kedua pula, beliau berkata, sekalipun buaya dihukumkan sebagai haiwan yang haram untuk dimakan dagingnya, namun telurnya tetap dihukumkan sebagai halal untuk dimakan menurut pendapat yang sahih.

“Hal ini sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa telur daripada haiwan yang halal dimakan dagingnya adalah suci secara ijmak, manakala telur daripada haiwan yang tidak halal dimakan dagingnya pula, padanya terdapat dua pendapat.

“Pendapat yang kuat dalam hal ini adalah ia dikira suci (lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/555). Begitu juga al-Khatib al-Syirbini menjelaskan lagi dengan mengatakan bahawa terdapat khilaf dalam kalangan ulama berkenaan kehalalan memakan telur haiwan yang tidak dimakan dagingnya.

“Dinyatakan di dalam kitab al-Majmu‘, jika kita katakan bahawa telur itu dikira suci dan ia adalah pendapat yang rajih, maka dihalalkan untuk memakannya tanpa sebarang khilaf kerana telur adalah suci dan tidak dianggap jijik (lihat Mughni al-Muhtaj, 6/158),” jelas beliau.

Selain itu, al-Qalyubi juga ada menyebut bahawa semua jenis telur itu adalah suci, sekalipun ia berasal daripada haiwan yang tidak halal dimakan dagingnya.

“Begitu juga sekalipun ia telah berubah menjadi darah di mana jika dieramkan, pasti ia akan menetas. Akan tetapi diharamkan untuk memakan apa yang memudaratkan seperti telur ular (lihat Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah, 1/82),” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang lelaki bertindak memakan telur buaya yang digoreng kerana tidak mahu ia menetas.

Katanya yang menggunakan akaun TikTok @khairuljohari27, ruang di rumah untuk menjaga beberapa haiwan eksotik yang dipeliharanya sudah terhad dan tidak boleh menampung sekiranya muncul anak buaya baharu lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI