PETALING JAYA – “Pasti ke dia itu suami orang?”
Demikian jawab pelakon jelita, Shakilla Khoriri berhubung dakwaan dirinya kini menjalin hubungan dengan seorang lelaki berstatus suami orang.
Kata Shakilla atau nama sebenarnya, Nurul Shakilla Mohd. Khoriri, dia hairan apabila gambar-gambar ‘mesra’ itu disebarkan semula oleh seorang individu sedangkan isu tersebut sudah lama berlaku.
“Isu pasal bergambar dengan suami orang, tanya balik kepada si penyebar fitnah. Pasti ke dia itu suami orang? Itu gambar-gambar lama dari tahun lepas. Kenapa nak jadikan saya mangsa?”
“Kenapa gambar-gambar lama itu dikeluarkan semula? Jangan salah bual. Tentang gambar mesra dengan lelaki (didakwa suami orang) itu, saya akan jelaskan minggu depan,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah ibu tunggal kepada seorang cahaya mata itu lagi, buat masa sekarang dia mengambil pendekatan untuk mendiamkan diri kerana perlu memberi tumpuan pada perkara yang lebih penting.
“Minggu ini adalah minggu yang sangat penting untuk masa depan saya dan anak. Jadi saya tidak ada masa nak layan benda-benda lapul. Benda lama, malas saya nak layan.
“Insya-Allah, minggu depan kalau saya rasa nak jelaskan, saya akan jelaskan untuk bersihkan semula nama saya. Isu ini sudah lama. Orang pula buat saya seolah-olah saya sebatang kara,” ujarnya.
Kata Shakilla lagi, dia mengambil pendekatan untuk berdiam diri buat masa ini bukan kerana bodoh, tetapi enggan untuk membuka aib sesiapa.
“Saya berdiam diri bukan sebab saya bodoh walaupun ramai yang minta saya untuk tampil jelaskan perkara sebenar.
“Saya boleh jelaskan, tapi saya tidak mahu londehkan kain yang elok dipakai. Saya tak nak orang itu terpalit dengan benda-benda yang tidak elok,” ujar Shakilla.
Dalam pada itu, pelakon yang pernah membintangi drama Bukan Khadijah itu turut menafikan dakwaan dirinya pernah berzina dengan mana-mana lelaki dan menganggap tuduhan tersebut sangat melampau.
“Saya bukanlah baik sangat, tapi tidaklah sampai tahap nak buat perkara tidak sepatutnya. Ada yang menuduh saya berzina. Saya tidak buat semua itu.
“Biarlah orang nampak saya jahat, tapi Allah SWT sahaja yang tahu apa yang berlaku. Kalau nak cakap tentang mesranya gambar yang tersebar itu, tidaklah sampai tahap saya berzina,” jelasnya.
Rentetan isu yang dibangkitkan oleh pihak tertentu itu, Shakilla memberi amaran supaya individu terbabit supaya bersiap sedia daripada segi fizikal dan mental untuk masa akan datang.
“Pastikan orang yang timbulkan isu ini bersiap sedia. Siapkan fizikal dan mental sebab awak yang mulakan perkara ini. Bila perkara ini berbalik pada awak nanti, jangan salahkan saya.
“Kalau tak boleh tahan fizikal dan mental, jangan bermain dengan api. Saya tidak suka perkara ini dibesar-besarkan.
“Tapi kalau berterusan, bersedialah. Saya sedang cari orang yang curi gambar-gambar peribadi saya ini,” tegas Shakilla.
Tiada angin, tiada ribut, kecoh dalam media sosial apabila tersebar beberapa keping gambar Shakilla, 34, bersama seorang lelaki yang didakwa seorang ahli perniagaan dan sudah berkahwin.
Kata Shakilla, dia yakin bahawa individu yang menyebarkan firnah tersebut adalah orang yang dikenalinya dan sengaja mahu menjatuhkan reputasinya sebagai pelakon.
Shakilla sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama penyampai radio, Fizi Ali pada 18 Februari 2028, namun berpisah pada Disember 2021.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Ameena Sofia yang kini berusia empat tahun. – KOSMO! ONLINE