fbpx

Seorang maut, empat parah, SUV dinaiki sembilan orang terbabas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG wanita maut manakala lapan cedera apabila Toyota Harrier dinaiki terbabas dan terbalik di Pekan Gurney, Sitiawan semalam. - Foto JBPM

LUMUT – Seorang maut manakala lapan cedera termasuk empat parah apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mereka terbabas di Pekan Gurney, Sitiawan, dekat sini semalam.

Mangsa yang maut ialah seorang penumpang wanita manakala empat yang parah juga penumpang wanita manakala pemandu lelaki, dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan cedera.

Semua mangsa adalah warga Indonesia dan difahamkan, tiada dokumen pengenalan diri ditemui di lokasi kejadian.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Penguasa Kanan Bomba I Sabarodzi Nor Ahmad, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.30 malam.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati terdapat sebuah kenderaan Toyota Harrier terbalik di bahu jalan.

“Bagaimanapun, tiada mangsa yang tersepit di dalam kenderaan itu dan difahamkan semua mangsa telah dikeluarkan oleh orang ramai sebelum pasukan bomba tiba,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, pasukan perubatan mengesahkan seorang wanita maut di lokasi kejadian manakala yang cedera diberi rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk mendapatkan rawatan.

Beliau memaklumkan, mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 8.35 malam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI