RALEIGH, CAROLINA UTARA – Perbuatan seorang penduduk di negeri Carolina Utara membina struktur menyerupai empangan di sekeliling rumahnya menyebabkan kediaman jirannya dilanda banjir dengan kerugian mencecah AS$100,000 (RM466,227).
Akhbar Daily Mirror melaporkan, seorang penduduk yang terjejas, Joe Cook telah melantik peguam dan mahu memfailkan kes saman sivil di mahkamah.
Cook percaya bahawa dinding konkrit yang dibina di sempadan hartanah mereka telah mengubah aliran air, menyebabkan kawasan rumahnya dipenuhi air bertakung.
Keadaan itu menyebabkan ayam-ayam peliharaannya mati, manakala kerosakan yang berlaku dianggarkan bernilai ratusan ribu dolar.
“Dia (jiran) membina empangan di kawasan tanah tinggi di sebelah hartanah saya dan merosakkan kediaman saya.
“Garaj saya juga rosak. Seseorang memberitahu bahawa tapak garaj tersebut telah musnah dan saya tidak mampu membina garaj baharu,” ujar Cook sambil menambah, dia cuba mengajak jirannya berbincang mengenai perkara itu, namun mereka enggan.
Berikutan itu, Cook melantik seorang peguam bagi membawa perkara itu ke mahkamah.
“Di bawah undang-undang Carolina Utara, anda tidak boleh membina struktur seumpama itu sehingga mengganggu aliran air semula jadi yang seterusnya menyebabkan kerosakan ada harta benda orang lain,” kata peguam Cook, Rusty McLean. – Agensi