PETALING JAYA – Public Health Malaysia (PHM) menerusi hantaran di Facebooknya semalam memaklumkan antara punca kegemukan adalah disebabkan stres dan ‘healing’.
Jelas PHM ramai yang suka melakukan aktiviti ‘healing’ atau keluar menenangkan diri bagi tempoh tertentu untuk melupakan masalah serta stres yang dihadapi.
Namun, ramai juga yang terlepas pandang cara ‘healing’ dengan betul apabila mereka sering menikmati makanan dalam kuantiti banyak dan leka terhadap pengambilan kalori tinggi sepanjang tempoh menenangkan diri.
Menurut PHM, situasi tersebut menjadi antara punca berlakunya masalah kegemukan dalam kalangan rakyat negara ini apabila makan terlalu banyak dan pengambilan makanan yang tidak sihat sewaktu keluar ‘healing’.
“Individu yang ada masalah stres yang kronik akan merembeskan lebih banyak hormon kortisol. Hormon ini yang menyebabkan selera makan bertambah berlipat kali ganda.
“Mengetahui fakta ini, jangan biasakan guna makanan sebagai cara untuk hilangkan stres dan ‘healing’. Ia akan akibatkan peningkatan berat badan dan menyebabkan anda bertambah stres kerana baju tak muat,” pesan PHM. – KOSMO! ONLINE