KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan hari ini berhujah empat pertuduhan salah guna jawatan yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diketepikan kerana tiada pendedahan kesalahan berkenaan sekali gus wujud satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Muhyiddin selaku pemohon berkata adalah jelas bahawa konsep proses keadilan telah dilanggar oleh pihak pendakwaan kerana terlalu tergesa-gesa, di mana peraturan asas keadilan tidak dipatuhi.
“Empat pertuduhan mengikut seksyen itu tidak mendedahkan kesalahan yang diketahui dalam undang-undang dan akibatnya harus diketepikan. Mesti jelas dan tepat dalam draf pertuduhan itu, pemohon (Muhyiddin) diprejudis,” kata peguam itu.
Berhujah lanjut, peguam itu turut berkata tertuduh dibiarkan untuk meneka dan membuat spekulasi bagaimana didakwa menyalahgunakan kedudukan jika ada, selain ada membuat sebarang keputusan, mengambil apa-apa tindakan dan berhubung perkara apa.
Sebelum ini, berdasarkan afidavit sokongan yang difailkan bersama notis usul, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, mendakwa empat pertuduhan menggunakan kedudukan yang didakwa ke atasnya adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.
Sementara itu, pihak pendakwaan selaku responden menegaskan pertuduhan rasuah RM232.5 juta dihadapi Muhyiddin tidak bersifat diskriminasi berikutan keperluan undang-undang mengikut Seksyen 152, 153 dan 154 Kanun Tatacara Jenayah sudah dipatuhi.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharudddin Wan Ladin, berkata tiada pelanggaran hak terhadap Muhyiddin di bawah Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Pemohon (Muhyiddin) berhak untuk menyediakan segala pembelaannya dalam kes ini. Seperti mana yang dihujahkan di atas cara atau bagaimana pemohon menggunakan kedudukannya boleh dibuktikan melalui keterangan sewaktu perbicaraan penuh kelak dan tidak perlu dinyatakan dalam pertuduhan. Perkara utama perlu dipertimbangkan adalah elemen atau inti pati di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dimasukkan dalam pertuduhan yang menjadi perkara dalam permohonan sudah dipenuhi dan dipatuhi bukan cara di mana sesuatu elemen dicapai,” katanya.
Hari ini adalah prosiding untuk mendengar permohonan Muhyiddin bagi membatalkan empat pertuduhan salah guna kuasa yang dikenakan ke atasnya dan prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung lagi petang ini.
Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan RM232.5 juta dan dua pertuduhan pengubahan wang haram RM195 juta tiga tahun lalu.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menggunakan kedudukannya untuk empat suapan masing-masing RM200 juta, RM1juta, RM19.5 juta dan RM12 Juta yang kesemuanya berjumlah RM232.5 juta.
Ia yang mana kesemua suapan-suapan itu diterima daripada tiga buah syarikat dan seorang individu.
Bagi empat pertuduhan itu, tertuduh didakwa di bawah seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.
Hukuman bagi seksyen tersebut memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE