BANGKOK – Seorang pengawal keselamatan di Thailand yang dirakam memakai barang kemas mewah mendedahkan rahsia kejayaannya kepada pesohor TikTok, lapor laman berita Thaiger semalam.
Berdasarkan klip video dalam akaun TikTok @artpapearn, pengawal keselamatan itu dirakam berbual dengan pesohor TikTok berkenaan.
Seutas rantai emas tebal dipadankan dengan azimat emas Buddha menarik perhatian ramai penonton. Pergelangan tangannya pula dihiasi gelang emas dan jarinya disarung cincin emas.
Ketika ditemu bual, pengawal keselamatan itu memberitahu bahawa dia menjalani gaya hidup berjimat cermat dan menyimpan harta dengan tidak membelanjakan gajinya.
Untuk menampung keperluan perbelanjaan harian, dia sebaliknya mengumpul barang antik pada masa lapang selepas pulang bekerja dan menjualnya semula.
Dia hanya membelanjakan sekitar 60 baht (RM8) setiap hari.
Setelah video itu tular di Thailand, orang ramai rata-ratanya mengagumi usaha pengawal keselamatan yang merendah diri itu. – Agensi