KOTA BELUD – Akibat berselisih faham dengan adik, seorang kanak-kanak perempuan merajuk dan melarikan diri ke dalam hutan dalam kejadian di Kampung Dudar semalam.
Menurut maklumat awal, perselisihan faham antara kanak-kanak itu bersama adik perempuannya yang berusia 10 tahun pada Ahad.
Bagaimanapun, Aliesah Aslan, 11, dikatakan telah pulang ke rumahnya pada jam 3.30 pagi Isnin namun bertindak melarikan diri semula ke dalam hutan sebaik mendapati ada ahli keluarga lain di rumahnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, mangsa ditemui kira-kira pukul 9.30 malam tadi pada jarak 400 meter dari rumah keluarganya oleh orang kampung.
“Orang kampung menemui mangsa di jalan raya kira-kira 400 meter dari rumah keluarga mangsa dalam keadaan selamat dan sedikit keletihan.
“Difahamkan, kanak-kanak itu telah keluar dari kawasan hutan berhampiran dan ditemui di kedai kampung berkenaan.
“Seterusnya mangsa diserahkan kepada ahli keluarganya,” katanya ketika dihubungi hari ini.