PERSEORANGAN lelaki kebangsaan, Leong Jun Hao menyuarakan hasrat untuk mengejar kedudukan dua pemain terbaik negara, Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao menjelang akhir tahun ini.
Pemain berusia 24 tahun itu mendapat tonik baharu apabila dinobatkan sebagai juara baharu kebangsaan selepas menewaskan Muhammad Shaqeem Eiman Shahyar 21-16, 21-13 pada perlawanan akhir di Stadium Juara, Bukit Kiara kelmarin.
Jun Hao yang juga bekas juara remaja Asia menjadikan kelompok 32 teratas dunia sebagai sasaran awal dalam usaha dia melayakkan diri beraksi dalam kejohanan antarabangsa lebih besar.
“Sasaran awal saya tahun ini adalah untuk berada dalam kelompok 50 terbaik dunia dan hampir mencapainya. Saya berharap menjelang akhir tahun ini, saya boleh berada dalam kelompok 32 terbaik dunia supaya dapat menyertai kejohanan lebih besar.
“Buat masa sekarang, masih ada jurang antara saya dengan Zii Jia dan Tze Yong, ini disebabkan mereka sudah banyak beraksi dalam kejohanan yang lebih besar berbanding saya.
“Apabila beraksi dalam kejohanan yang besar, ia akan membantu anda untuk meningkatkan prestasi serta konsistensi. Justeru, saya perlu berusaha untuk berada dalam kelompok 32 terbaik dunia bagi menyertai kejohanan lebih besar,” katanya.
Pada ketika ini, Jun Hao menghuni kedudukan ke-54 dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF), manakala Zii Jia dan Tze Yong masing-masing berada di tangga ke-16 dan 21.
Selepas cabaran pada Kejohanan Badminton Kebangsaan berakhir kelmarin, Jun Hao kini mengalihkan fokus ke arah Terbuka Korea yang dijadualkan berlangsung di Yeosu bermula 18 hingga 23 Julai ini.