fbpx

Ilmu psikologi penting elak atlet negara cepat stres

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky sedang memantau pemain-pemain Malaysia ketika menjalani latihan dan sesi uji gelanggang di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, Selangor.

SEBUT sahaja tentang psikologi, ramai beranggapan perkara itu sebagai medium biasa, tetapi dalam sukan, ramai jurulatih dan pengamal sukan cakna penting­nya psikologi dalam membantu meningkatkan prestasi atlet.

Psikologi ditakrifkan sebagai kajian tentang proses mental dan pemikiran yang menghubungkan perlakuan manusia dan haiwan.

Psikologi melibatkan atlet berkait rapat dengan emosi, pe­rasaan dan tingkah laku. Namun begitu, tidak ramai mengetahui psikologi ini mempunyai hubu­ngan dengan peningkatan prestasi diri individu dalam sukan.

Ketika ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bergerak kehadapan apabila membekalkan ilmu psikologi dari peringkat remaja sebelum mereka beralih melebarkan sayap beraksi di pe­ringkat antarabangsa.

BAM membuat keputusan menjalinkan kerjasama dengan Universiti Cyberjaya, memboleh­kan Akademi Badminton Malaysia (ABM) mendapat manfaat kepakaran ahli psikologi daripada universiti terbabit.

Timbalan Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam berkata, pemain remaja negara akan menerima bantuan psikologi berterusan, baik dari segi pengurusan tekanan dalam pembentukan kerjaya sebagai atlet di usia muda, mahupun gaya hidup.

“Sejak usia 13 tahun atlet muda negara dipanggil me­nyertai latihan di sini (ABM) dan mereka tinggalkan rumah dan ibu bapa mereka. Apabila mereka tiba di sini secara keseluruhan persekitaran berubah dan sebab itu kita perlukan khidmat pakar terutama psikologi.

“Ini adalah langkah pertama kerana kita melihat bantuan psikologi ini sebagai satu keperluan buat atlet remaja negara. Tidak mustahil dengan adanya kepakaran psikologi ini dapat membantu atlet remaja menyelesaikan segala tekanan yang dihadapi sepanjang berada di ABM,” katanya ketika ditemui di ABM, Bukit Kiara baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ABM, Michelle Chai yakin kehadiran psikologi dapat membantu atlet remaja negara di akademi terbabit meningkatkan prestasi mereka semasa latihan dan ketika pertandingan.

“Kami lihat di sini tekanan terlalu tinggi dan kita tak sedar apa yang pemain muda ini lalui sepanjang berada di ABM kerana kita lihat mereka seperti budak-budak. Tetapi dalam fikiran mereka berbeza, terutamanya mereka memikirkan soal perlawanan atau digugurkan daripada program jika tidak mengekalkan prestasi dan pencapaian.

“Saya akui tekanan di BAM terlalu tinggi, jadi kita lihat bantuan psikologi ini penting berada dalam BAM sendiri. Saya harap, dengan kerjasama yang kita buat bersama universiti ini antara langkah awal menyediakan bekalan terbaik kepada atlet remaja agar mereka lebih matang dan profesional,” ujarnya.

Sementara pemain badminton remaja negara, Iffah Madina Irwanto, 14, berkata, dia mengambil pendekatan positif mengenai kehadiran ahli psikologi di ABM sedikit sebanyak dapat membantu atlet muda meningkatkan prestasi terutama mengawal tekanan.

“Mungkin dapat bantu kami untuk berasa seperti kita masih ada keluarga di sini (akademi). Kerana tidak semua orang memiliki keluarga sempurna dan setiap individu memerlukan seseorang untuk mendengar luahan.

“Di sini, ada atlet dari seluruh negeri, jadi seperti pemain dari Sarawak, mereka tidak boleh selalu balik kampung jadi dengan adanya ahli psikologi, pasti dapat membantu meredakan tekanan,” kata Iffah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI