SEREMBAN – Seorang lelaki warga emas yang didakwa atas pertuduhan mendera seekor anjing dengan kejam pada Mei lalu akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Perkara itu dimaklumkan peguam Nashvinder Singh Gill yang mewakili tertuduh, Chok Boon Kwong, 61, pada prosiding sebutan semula kes di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Nashvinder memohon kepada mahkamah tempoh satu bulan untuk meneliti dokumen sebelum sebutan semula kes ditetapkan.
Terdahulu, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Syamimi Farhana Muhammad A Aziz memaklumkan dokumen berkaitan kes mendera anjing itu akan diserahkan kepada pihak pembelaan hari ini.
Pada 8 Jun lalu, Boon Kwong didakwa atas pertuduhan dengan kejamnya telah mengikat seekor anjing dan mengheretnya dengan menggunakan kereta sehingga menyebabkan kesakitan kepada haiwan tersebut.
Kesalahan itu dilakukan di jalan hadapan rumah di Kampung Sri Parit, Lukut di Port Dickson lebih kurang 6.45 petang pada 27 Mei 2023.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015.
Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang daripada RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya.
Mahkamah kemudian menetapkan kes disebut semula pada 10 Ogos depan.- KOSMO! ONLINE