MENGIMBAS memori lampau ketika bercinta dengan Kareena Kapoor, Shahid Kapoor mendedahkan perasaannya bercelaru ketika gambar mereka berciuman tersebar.
Akuinya, insiden yang berlaku sekitar 2004 itu umpama dunianya musnah kerana orang ramai memperkatakan isu tersebut selain diperbesarkan hingga menjadi kontroversi.
Biarpun ketika itu sosial media belum sepantas sekarang, video berciuman itu terus menjadi muka depan akhbar.
Bagi masyarakat, aksi intim termasuk berciuman pada era tersebut dianggap sesuatu yang kurang sopan, terutama membabitkan pasangan belum berkahwin.
Sudah pasti Shahid dan Kareena dikecam ramai, tetapi kejadian yang berlaku pada waktu usianya 24 tahun itu dianggap sebagai pengalaman berharga.
Walaupun masing-masing mempunyai kehidupan sendiri, persahabatan dua bintang sensasi itu masih terjalin sampai ke hari ini.