KUALA LUMPUR – “Dia guru besar yang saya kasihi. Tak pernah ada pandangannya yang meremehkan atau memperkecilkan orang lain,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengimbas kembali kenangannya bersahabat baik dengan ulama tersohor, Almarhum Sheikh Yusuf al-Qaradawi.
Menurutnya, beliau menyifatkan tokoh ulama besar tersebut bukan semata-mata sebagai sahabat, malah menjadi rujukan untuk bertanyakan pelbagai perkara bagi mendapatkan pandangan.
“Saya ini selayaknya nak jadi murid pun malu kerana dia tokoh gergasi dunia ilmu. Tapi dia anggap kita sahabat. Ada hal kita tanya dia, ada hal dia tanya kita. Ada hal seolah-olah dia anggap kita lebih tahu daripada dia.
“Ini untuk memberikan rasa selesa. Sikap dakwah dan kasih daripada guru menunjukkan cara ambil berat dan ambil tahu,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Peluncuran Buku Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi Autobiografi ‘Sang Pelita Umat’ di sini hari ini.
Anwar berkata, sewaktu beliau berdepan kehidupan pasang surut bersama isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan anak-anak apabila dimasukkan ke penjara, Almarhum turut menitipkan pesanan yang masih diingati sehingga kini.
“Saya masih ingat satu malam sebelum ditangkap, dia telefon saya dan masa itu saya di Damansara. Dia dengan tenang sebut, ‘sabar… La Ilaha Illa Anta Subhanaka Inni Kuntu Minaz zalimin’,” katanya.
Anwar berkata, Almarhum juga pernah memberi teguran tentang beberapa sikap agak melampau dalam kegiatan Islam.
“Trend aliran keras itu sudah cuba menguasai gerakan. Beliau menjadi seolah-olah benteng mempertahankan wasatiyyah. Sebab itu markas beliau itu kekal wasatiyyah iaitu kesederhanaan.
“Saya percaya dan pernah tanya dia, ini yang harus kita kekalkan wasatiyyah. Cara dia kupas itu luar biasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE