MONTGOMERY, ALABAMA – Sekurang-kurangnya empat orang maut di Alabama selepas melakukan cabaran yang menjadi trend di laman TikTok dengan melompat keluar dari bot yang sedang bergerak, lapor laman berita Today semalam.
Kapten Jim Dennis daripada Skuad Penyelamat Childersburg memberitahu saluran televisyen NBC News bahawa empat orang disahkan mati dalam tempoh enam bulan lalu ketika melakukan aksi sedemikian.
“Keempat-empat mereka mengalami patah leher selepas melompat keluar dari bot dan mati di tempat kejadian,” katanya.
Cabaran itu bukan sesuatu yang baharu, dengan video memaparkan orang ramai melompat daripada bot yang sedang bergerak mula tular sejak 2020.
Namun, lebih ramai individu cuba melakukan aksi tersebut yang kini menjadi trend ketika mereka menyertai aktiviti air semasa musim panas.
Sementara itu, seorang pakar memberitahu Today bahawa tindakan melompat seperti itu amat berbahaya.
“Anda berisiko mengalami patah tulang atau leher, terkena kipas bot atau dilanggar bot lain yang seterusnya mengakibatkan banyak kerugian atau kematian,” kata Pengarah Eksekutif Yayasan Sea Tow, Gail Kulp. – AGENSI