KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi menetapkan 15 Ogos depan keputusan permohonan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membatalkan empat pertuduhan salah guna kuasa bagi suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu selepas kedua-dua pihak selesai berhujah.
“Saya memerlukan masa untuk meneliti hujahan kedua-dua pihak, jadi saya akan tetapkan tarikh lain untuk keputusan pemohonan ini. Tarikh keputusan 15 Ogos pukul 9 pagi adalah keputusan,” kata hakim itu.
Dalam prosiding hari ini, Muhyiddin selaku pemohon diwakili peguam-peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Amer Hamzah Arshad manakala pendakwaan selaku responden dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Ahmad Akram Grarib.
Semasa prosiding pagi tadi, pihak pembelaan berhujah empat pertuduhan salah guna jawatan yang dihadapi Muhyiddin mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diketepikan kerana tiada pendedahan kesalahan berkenaan sekali gus wujud satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Peguam Hisyam yang mewakili Muhyiddin selaku pemohon berkata adalah jelas bahawa konsep proses keadilan telah dilanggar oleh pihak pendakwaan kerana terlalu tergesa-gesa, di mana peraturan asas keadilan tidak dipatuhi.
Sebelum ini, berdasarkan afidavit sokongan yang difailkan bersama notis usul, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, mendakwa empat pertuduhan menggunakan kedudukan yang didakwa ke atasnya adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.
Sementara itu, pihak pendakwaan selaku responden menegaskan pertuduhan rasuah RM232.5 juta dihadapi Muhyiddin tidak bersifat diskriminasi berikutan keperluan undang-undang mengikut Seksyen 152, 153 dan 154 Kanun Tatacara Jenayah sudah dipatuhi.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharudddin Wan Ladin, berkata tiada pelanggaran hak terhadap Muhyiddin di bawah Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.
Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan RM232.5 juta dan dua pertuduhan pengubahan wang haram RM195 juta tiga tahun lalu.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menggunakan kedudukannya untuk empat suapan masing-masing RM200 juta, RM1juta, RM19.5 juta dan RM12 Juta yang kesemuanya berjumlah RM232.5 juta. – KOSMO! ONLINE