JAKARTA – Sebuah majlis perkahwinan di Asahan, wilayah Sumatera Utara kecoh apabila seorang wanita yang mengaku isteri pengantin lelaki hadir dan membuat kacau, lapor portal berita Harian Mistar semalam.
Dalam hantaran tular di laman Facebook, kejadian semalam itu memaparkan seorang wanita berbaju hitam tiba-tiba muncul di majlis perkahwinan tersebut sambil membawa anaknya.
Dia menjerit dan meminta suaminya supaya bertanggungawab dalam memberi nafkah kepada anak mereka.
Sebilangan individu dipercayai wakil tuan rumah berusaha menenangkan wanita berkenaan dan meminta dia pulang.
Wanita bernama Silvia itu memberitahu pemberita bahawa dia nekad bertindak demikian selepas suaminya berkahwin lain tanpa menceraikannya terlebih dahulu.
“Dia sudah tiga tahun meninggalkan saya dan anak-anak begitu sahaja ketika saya hamil anak kedua,” kata Silvia.
Selama tiga tahun ditinggalkan, Silvia berkata, suaminya langsung tidak memberikan nafkah.
Selepas mendapat tahu mengenai perkahwinan itu, kemarahan Silvia memuncak, menyebabkan dia nekad hadir ke majlis tersebut.
Selepas ‘menyerang’ suaminya di majlis itu, Silvia kemudian membuat laporan polis bagi dakwaan mengabaikan anak. – Agensi