fbpx

RM1.9 juta atasi serangan babi hutan, kera di Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Muhamad Akmal (kiri) melihat perangkap digunakan untuk menangkap babi hutan yang dilaporkan sering merosakkan tanaman penduduk di negeri ini. - Foto oleh AMRAN MULUP / KOSMO!

ALOR GAJAH – Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1.9 juta bagi membina perangkap hidupan liar khususnya untuk menangkap babi hutan dan kera di seluruh Melaka.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, peruntukan itu disediakan berikutan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka menerima sebanyak 1,500 aduan berkaitan gangguan haiwan berkenaan, tahun lalu.

Menurutnya, kehadiran haiwan liar mengganggu penduduk dan merosakkan pelbagai tanaman dianggap serius berdasarkan aduan diterima.

“Mengikut rekod daerah Alor Gajah mencatat aduan paling tinggi sebanyak 2,908 kes bagi tempoh 2019 hingga Jun 2023 diikuti Melaka Tengah (2,833 kes) dan Jasin (1,518 kes).

“Aduan haiwan yang diterima Perhilitan iaitu kera sebanyak 6,221 ekor diikuti babi (670 ekor), lotong (153 ekor), musang pandan (95 ekor), beruk (41 ekor), buaya (41 ekor) dan lain-lain spesis (38 ekor).

“Masalah babi hutan dan kera mengganggu-gugat kehidupan rakyat di negeri ini dianggap serius kerana tahun sudah Perhilitan menerima sebanyak 1,500 aduan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Perangkap Hidupan Liar Bagi Program Basmi Musuh Tanaman di Pusat Pendidikan Biodiversiti Tanjung Tuan di sini, hari ini.

Tambah Muhamad Akmal, sebagai permulaan sebanyak 100 daripada 316 perangkap akan ditempatkan di semua Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun).

“Daripada jumlah tersebut 70 unit bagi perangkap babi hutan, 100 unit perangkap kera kecil dan 46 unit perangkap pindah kera,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI