SEREMBAN – Bekas Senator yang juga aktivis orang kelainan upaya (OKU), Datuk Ras Adiba Radzi bersedia menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan sekiranya diberikan mandat oleh pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ras Adiba berkata, keputusan itu bergantung kepada Presiden Bersatu yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, namun beliau tetap akan memberi sokongan sepenuhnya.
Beliau yang berasal dari Seri Menanti menyifatkan kepulangannya ke Negeri Sembilan bagai sirih pulang ke gangang bagi memperjuangkan kebajikan rakyat terutama OKU dan warga emas.
“Saya tidak tahulah (menjadi calon atau tidak) saya datang bersama-sama (Bersatu) untuk menolong.
“Saya bersedia tetapi tidak kisah dicalonkan ataupun tidak, saya tetap akan memberikan sokongan 500 peratus kepada sahabat-sahabat dalam Bersatu dan PN. Saya akan turun berkempen nanti,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jentera PRN PN Negeri Sembilan di sini malam tadi.
Terdahulu, pada majlis itu Ras Adiba menerima Watikah Keahlian Bersatu yang disampaikan oleh Muhyiddin.
Turut menerima watikah ialah bekas Timbalan Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
Ras Adiba turut mengakui sebelum ini adalah ahli UMMO, namun memutuskan untuk menyertai Bersatu selepas melihat keadaan politik negara tidak seperti yang diharapkan oleh rakyat.
“Terus-terang seperti orang lain, kita semua saya bersama dengan UMNO (Puteri) sebagai ahli, tetapi setelah mengamati senario politik negara saya dapati ia tidak begitu apa yang kita harapkan.
“Rakyat sedang menderita, kita dah susah beberapa bulan ini, saya berharap dan berdoa agar Bersatu di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin dan pasukan akan mengembalikan cahaya semula kepada negara kita,” katanya.
Selain itu, dua lagi individu iaitu bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan, Azlimah Zamli dan bekas Ketua Cabang PKR Jelebu merangkap bekas Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang, Yus Mazmi Ahmad Yusof pula menyerahkan borang keahlian Bersatu mereka kepada Muhyiddin. – KOSMO! ONLINE