KOTA BHARU – Polis Kelantan sudah mula memantau kira-kira 16 lokasi panas yang telah dikenal pasti sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal pada 12 Ogos depan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, lokasi tersebut melibatkan beberapa kawasan di daerah Kota Bharu, Machang dan Gua Musang.
Menurutnya, penyokong, sejarah parti dan penglibatan individu di kawasan berkenaan antara perkara yang diambil perhatian oleh polis.
“Selain itu, polis turut memberi tumpuan dan perhatian di kawasan-kawasan lain bagi memastikan PRN berjalan lancar,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan Pingat Jasa Pahlawan Negara dan katil kepada pesara polis, Yusoff Hussain, 80, yang menghidap penyakit saraf di rumahnya di Kampung Tanjong Mas di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhamad Zaki memberitahu, setakat ini, pihaknya masih belum menerima permohonan daripada parti politik untuk mengadakan ceramah umum atau pelancaran jentera pilihan raya.
Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata, polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kes tembak melibatkan banglo dan kereta milik penjawat awam di Kampung Guntong, Kok Lanas pada malam Jumaat lalu.
Katanya, semua pihak diminta supaya memberi ruang bagi kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE