LONDON – Polis menahan hampir 1,000 orang pada bulan lalu dan merampas dadah serta wang tunai bernilai ratusan juta pound sterling dalam operasi membanteras jenayah terancang terbesar di Britain, lapor portal berita RT semalam.
Disifatkan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) sebagai inisiatif penguatkuasaan undang-undang paling penting seumpamanya, tindakan dinamakan Operasi Mille itu turut merampas sebanyak 180,000 pokok ganja.
Keseluruhan pokok ganja itu dianggarkan bernilai £130 juta (RM777 juta), manakala sebanyak 20 kilogram kokain bernilai £1 juta (RM5.98 juta) juga dirampas. Operasi selama sebulan itu diadakan di England dan Wales.
Polis selain itu merampas 20 senjata api, 40 senjata berbahaya lain dan wang tunai berjumlah £636,000 (RM3.8 juta).
Kira-kira 11,000 anggota daripada kesemua 43 pasukan polis tempatan di England serta Wales bekerjasama dengan Agensi Jenayah Kebangsaan dan Penguatkuasa Imigresen dalam operasi sama.
Sepanjang tempoh sebulan itu, pihak berkuasa mengeluarkan lebih 1,000 waran tangkap.
Daripada 967 suspek yang diberkas semasa operasi itu, lebih 450 telah didakwa setakat semalam, demikian menurut portal berita Sky News.
Operasi itu bertujuan menggugat kumpulan jenayah terancang, menangkap penjenayah utama dan mempelajari cara rangkaian penjenayah beroperasi, kata Ketua Unit Jenayah Serius dan Terancang Polis, Steve Jupp. – AGENSI