AMSTERDAM, Belanda – Model dan pelakon transgender, Rikkie Valerie Kolle menjadi peserta pertama dilahirkan lelaki yang memenangi pertandingan ratu cantik Miss Netherlands, Lapor portal berita RT semalam.
Pertandingan itu berlangsung kelmarin di Teater AFAS, Leusden.
Kolle menewaskan sembilan peserta wanita untuk memenangi pertandingan tersebut pada tahun ini. Dia dinobatkan Miss Netherlands yang baharu, menggantikan pemenang tahun lalu, Ona Moody.
Peserta berusia 22 tahun itu akan mewakili Belanda pada pertandingan Miss Universe Ke-72 di El Salvador akhir tahun ini. Kolle juga muncul peserta transgender kedua mara ke pertandingan ratu cantik peringkat antarabangsa itu.
Peserta Miss Universe kelahiran lelaki pertama ialah Angela Ponce dari Sepanyol yang bertanding pada 2018 tetapi gagal mara ke pusingan akhir.
Dalam hantaran di laman Instagram, Kolle berkata: “Lihatlah saya sekarang, berdiri di sini sebagai wanita transgender yang kuat dan penuh keyakinan.
“Cinta adalah cinta. Jadilah seperti yang anda mahu dan jangan lupa, sentiasa raikan kebanggaan anda.”
Satu lagi hantaran Instagram menjelaskan bahawa dia melakukan pembedahan bagi memasuki pertandingan tersebut.
“Bagi saya, ia membawa kebahagiaan,” Kolle menyimpulkannya.
Pada 2012, bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menarik balik larangan organisasi Miss Universe terhadap peserta transgender apabila beliau membeli pertandingan itu. — AGENSI