PETALING JAYA – Lumrah menjadi seorang rider atau penghantar makanan apabila bertemu dengan pelbagai karenah pelanggan, ada yang baik dan ada juga sebaliknya.
Seperti perkongsian seorang rider di media sosial yang dikenali sebagai Mohd. Yusmadi, dirinya agak terkilan apabila mendapat seorang pelanggan yang kurang sopan.
Menurutnya, pelanggan tersebut hanya mencampakkan wang di atas tiang bagi mengelakkan tangannya basah sehingga wang itu jatuh di tiup angin.
“Semalam hantar barang dalam hujan lebat pakai raincoat (baju hujan) pun basah lencun luar dalam. Memang ada orang pandang rider ni jijik, kita hantar barang dia dalam hujan lebat ni.
“Nak bayar duit lempar atas tiang sahaja sebab tak nak terkena tangan kita yang basah ini,” luahnya.
Tambah rider tersebut, dia terpaksa mengutip wang tersebut kerana duit itu akan digunakan untuk membeli lauk dan makanan kepada keluarganya.
“Kenang muka anak-anak, nak beli lauk kat pasar esok. Abah mereka ni rendahkan harga diri kutip juga duit yang ditiup angin jatuh ke lantai,”ujarnya sedih.
Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna meluahkan rasa marah dan kecewa dengan sikap pelanggan yang tidak menghargai jasa rider yang bersusah payah menghantar barangan walaupun ketika hujan lebat.
“Kurang ajar punya manusia, buat encik rider, semoga anda dimurahkan, dilimpahkan rezeki dan dipermudahkan segalanya,” tulis Eyza Alieyza
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Nurul Huda M Nor.
“Sampainya hati, bertabahlah abam-abam rider,” katanya. – KOSMO! ONLINE