fbpx

Pelajar UMT harumkan nama negara sertai persidangan antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DHIPAN (kanan) berjaya mewakili negara ke persidangan AFUCA yang berlangsung di Kazakhstan baru-baru ini.

UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT) sekali lagi mengorak langkah mengharumkan nama negara menerusi penyertaan mahasiswanya ke satu persidangan antarabangsa baru-baru ini.

Penganjuran XXVI Ordinary Session of the Asian-Pacific Federation of Clubs and Associations (AFUCA) bagi Mesyuarat Lembaga Eksekutif UNESCO dan Seminar Peningkatan Kesedaran Antarabangsa Pembangunan Lestari itu telah berlangsung di Kazakhstan.

Pelajar Sarjana Muda Biologi Marin, Fakulti Sains dan Sekitaran Marin (FSSM), Dhipan Raj Subramaniam mewakili UMT dan negara ke persidangan yang bertemakan, Transformasi Pendidikan: Membangun, Melaksanakan dan Menilai.

Barisan panel pemilih sebulat suara bersetuju melantik Dhipan bagi menghadiri persidangan tersebut setelah melihat ketokohan dan pengalamannya dalam kepimpinan.

Dia cukup aktif dalam penganjuran acara dan pengurusan kelab di peringkat universiti serta komuniti.

Dhipan yang juga presiden Kelab Marina telah berjaya mempromosikan budaya penjagaan alam sekitar melalui jalinan usaha sama dengan syarikat korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha mengekalkan kelestarian secara bersama.

“Terima kasih kepada UMT dan barisan panel pemilih kerana memberikan peluang keemasan ini kepada saya.

“Saya sendiri tidak pernah menyangka diberi kepercayaan dan mandat, sekali gus mewakili universiti serta Malaysia ke persidangan yang saya anggap mega dan terlalu berprestij.

“Pastinya, segala ilmu dan apa sahaja topik perbincangan yang dibentangkan ketika persidangan selama empat hari itu akan saya kongsi serta aplikasikan ke arah pembangunan transformasi pendidikan negara,” katanya.

Tambah Dhipan, pengiktirafan dan peluang yang diberikan itu pasti menyuntik semangat serta membuatkannya lebih berinspirasi dalam melakukan sesuatu perkara terutama melibatkan pembangunan serta kejayaan universiti.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain menyifatkan pemilihan itu suatu pengiktirafan besar kepada UMT.

“Sekalung tahniah dan syabas atas pemilihan ini. Saya amat berbangga dan ia merupakan suatu pengiktirafan besar dan bermakna kepada UMT.

“Selamat maju jaya dan tahniah kerana mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa,” katanya yang mahukan lebih ramai mahasiswa UMT mengikut jejak langkah Dhipan pada masa akan datang.

Tambah Mohd. Izani, universiti mahukan lebih ramai dalam kalangan siswa dan siswi mengorak langkah ke hadapan bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi universiti itu amnya.

Untuk makluman, UMT yang ditubuhkan sebagai Pusat Perikanan pada 1979 telah melalui pelbagai peringkat evolusi.

Institusi itu telah berjaya menempa nama di pelbagai peringkat menerusi pencapaian akademik, penyelidikan dan inovasi serta pembangunan mahasiswa.

Antara pencapaian dan pengiktirafan yang telah diperolehi UMT iaitu penarafan oleh Times Higher Education (World University Rankings), Times Higher Education (Impact Rankings) dan Times Higher Education (World University Rankings by Subject).

Selain itu, UMT turut meraih pengiktirafan daripada QS World University Rankings, QS University Rankings (Asia), UI GreenMetric, MyMoheS dan Malaysia Research Assessment (MyRA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI