Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
MESKIPUN berjaya melebarkan rekod menang semua perlawanan Liga Super dengan menewaskan Negeri Sembilan FC malam kelmarin, pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT) Esteban Solari terkesan dengan mutu pengadilan pada perlawanan itu.
Menurut Solari, tindakan pengadil, Mohd. Fusser Mad Sallih yang membenarkan permainan dihentikan kerap kali telah ‘membunuh’ rentak permainan sekali gus merencat usaha anak buahnya memburu tambahan gol.
Tindakan itu secara tidak langsung menyebabkan perlawanan itu menjadi hambar apabila pihak lawan menggunakan helah menjatuh badan dan mendapatkan rawatan bagi membuang masa perlawanan.
“Saya memang kecewa dengan tindakan pengadil yang membenarkan pasukan lawan menggunakan helah itu untuk ‘membunuh’ rentak perlawanan pada malam ini.
“Apa yang dilakukan oleh pihak lawan itu biasa berlaku dalam perlawanan dan mereka boleh menggunakan taktik tersebut, namun saya kecewa dengan mutu pengadilan yang membenarkan perkara itu berlarutan.
“Penonton yang membayar tiket dan hadir ke stadium mahu disajikan dengan permainan yang berkualiti, malangnya masa perlawanan banyak dihabiskan untuk insiden membuang masa, ia sama seperti mengambil wang mereka,” katanya.
Pada perlawanan itu, JDT menang 2-0 menerusi jaringan bek tengah, Feroz Baharudin dan pemain import, Leandro Velazquez yang dihasilkan pada babak pertama permainan.
Dalam pada itu, pengendali kelahiran Argentina itu tetap memuji aksi pemain yang berdisiplin tinggi untuk memastikan tiga mata berharga berada dalam genggaman mereka.
“Jika dilihat aksi keseluruhan Harimau Selatan, kami berupaya untuk menjaringkan lebih banyak gol, tetapi setiap kali kami mengatur gerakan, ia tersekat disebabkan tiupan wisel pengadil perlawanan.
“Bagaimanapun, saya puas kami dapat mengekalkan kemenangan di laman sendiri dan berjaya mempertahankan gawang daripada dibolosi,” katanya.