SELAIN sikap tidak berputus asa, pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee terpaksa mengakui nasib menjadi faktor utama kepada kemenangan 4-3 ke atas Kuching City di Stadium Likas, kelmarin.
Bagaimanapun, Kim Swee kurang gembira dengan beberapa aspek terutamanya berkaitan mentaliti setiap kali mendahului hingga meletakkan pasukan dalam situasi tertekan.
“Kita ambil mudah selepas mendahului dan ini beri ruang kepada pasukan lawan untuk bangkit. Selepas (Kuching City) memperoleh gol pertama dan penyamaan, ia pastinya beri tekanan kepada kami.
“Kami bernasib baik kerana berjaya mendapatkan gol kemenangan di lewat permainan. Perkara positif yang boleh kita ambil daripada perlawanan ini adalah sikap tidak mengalah,” katanya.
Pada perlawanan itu, bintang import baharu Sabah, Ramon Machado memastikan debut sempurna apabila ledak dua gol, selain Saddil Ramdani juga cemerlang dengan menyumbangkan satu gol dan mencipta dua bantuan jaringan.
Penyerang import pelawat, Abu Kamara juga cemerlang dengan menyumbangkan dua gol selepas Amir Amri Salleh meledak gol pertama Kuching City.
“Ramon dapat menjaringkan dua gol dan sudah pasti ia beri keyakinan untuknya bagi hadapi perlawanan akan datang. Miguel Cifuentes alami kecederaan dan saya tidak boleh ambil risiko untuk benarkan dia beraksi di babak kedua.
“Apabila bolos tiga kali, ia menjadi sesuatu yang perlu kita baiki untuk hadapi aksi seterusnya,” katanya.