fbpx

KPT usaha tingkat capaian internet di IPT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMED Khaled Nordin (tengah) beramah mesra bersama para penerima watikah pelantikan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti (JPENKK) Negeri Sembilan pada majlis penyampaian watikah itu di Seremban hari ini.-NAZARUDIN SHAHARI/KOSMO!

SEREMBAN – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengemukakan kepada kerajaan keperluan bagi meningkatkan capaian internet di setiap kampus institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini yang masih belum memuaskan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya tidak menafikan terdapat gangguan atau tiada liputan internet di sesetengah kampus IPT yang telah dikenal pasti oleh KPT.

Katanya, pihaknya telah mengemukakan kepada Kementerian Kewangan peruntukan yang diperlukan bagi mengatasi masalah itu.

“Pada masa ini, kita masih menunggu jawapan daripada kerajaan,” katanya kepada para pemberita selepas menyampaikan watikah pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti (JPENKK) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata demikian ketika diminta mengulas ciapan di laman Twitter rasmi Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil bahawa Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) serta KPT akan melaksanakan tindakan segera bagi meningkatkan kesalinghubungan di kampus IPT.

Ciapan itu sebagai respon kepada permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Fahmi memberi keutamaan kepada sistem kesalinghubungan di kampus.

Pada majlis hari ini, seramai lima orang Pengerusi JPENKK Negeri Sembilan yang terdiri daripada Kolej Komuniti (KK) Jempol, KK Jelebu, KK Tampin, KK Rembau dan KK Kuala Pilah telah dilantik untuk tempoh dua tahun berkuatkuasa mulai 1 Julai lalu.

JPENKK telah ditubuhkan di semua kolej komuniti pada 2008 dalam usaha kerajaan membantu kolej tersebut menjadi sebuah institusi pendidikan yang dinamik dan berkualiti, mencakupi pelbagai bidang kemahiran dan latihan di negara ini. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI