fbpx

Keputusan waris perlu bayar cukai LHDN diketahui September

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Naim.

PUTRAJAYA – Keputusan sama ada waris perlu membayar tunggakan cukai pendapatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi pembayar cukai yang meninggal dunia akan diketahui selewat-lewatnya September ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, perkara itu akan dibincang pada mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

Katanya, bagi peringkat Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Panel Pakar Syariah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) yang bersidang esok akan membincangkan isu cukai tertunggak LHDN yang ketika ini berdepan dengan pandangan berbeza daripada dua mufti.

“Bagi mesyuarat Jawatankuasa MKI, ketika di Mekah saya bertemu Datuk Dr Nooh Gadut (Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI) dan dia maklumkan sebelum ini sudah ada tarikh, namun bertembung dengan Pilihan Raya Negeri (PRN),

“Jadi akan ada satu tarikh baharu untuk mengadakan mesyuarat berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Zakat Korporat 2023 di sini hari ini

Pada Mei lalu, akhbar melaporkan undang-undang menuntut wakil sah atau pentadbir harta pusaka pembayar cukai yang meninggal dunia, membayar tunggakan cukai ditinggalkan si mati, mengundang pandangan berbeza mufti dalam konteks syarak.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berpendapat, ia harus dibayar tunggakan cukai itu sambil memetik hadis diriwayatkan Imam At-Tirmidzi yang menyebut ‘roh atau jiwa orang beriman itu tergantung dengan hutangnya sehingga dibayar atau dilunaskan’.

Namun, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman pula berpandangan berdasarkan syariat Islam, pewaris harta pusaka pembayar cukai pendapatan yang sudah meninggal dunia tidak perlu membayar cukai tertunggak yang ditinggalkan si mati.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr. Mohd. Nizom Sairi dilaporkan berkata, waris bertanggungjawab sepenuhnya ke atas komitmen si mati, termasuk pengurusan cukai pendapatan.

Seksyen 74 Akta Cukai Pendapatan 1967 menetapkan sebarang tunggakan cukai pendapatan tidak boleh dihapuskan secara automatik walaupun individu itu meninggal dunia.

Sebaliknya, surat rasmi akan dihantar kepada wakil sah atau pentadbir harta pusaka si mati bagi menuntut melunaskan tunggakan cukai pendapatan yang hanya akan dihapus kira selepas suatu tempoh apabila semua prosedur berkenaan dilaksanakan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI