PETALING JAYA – Jenazah bekas Pengerusi AirAsia Berhad, Datuk Pahamin Rajab meninggal dunia akibat serangan jantung ketika dalam penerbangan ke London akan disemadikan di sebuah tanah perkuburan di negara terbabit.
Perkara itu dikongsi oleh cucunya, Kasih Iris Leona yang juga anak pelakon, Azhar Sulaiman menerusi satu hantaran InstaStorynya hari ini.
Menurut hantaran yang dikongsi Leona, lokasi dan tarikh pengkebumian akan dimaklumkan kemudian.
“Untuk makluman, Jenazah Allahyarham Pahamin Rajab akan disemadikan di Kota London selaras dengan hajat beliau untuk disemadikan di kota terakhir beliau meninggal dunia.
“Butiran berkenaan tempat dan masa pengebumian akan dimaklumkan secepat mungkin.
“Kami sekeluarga ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas ucapan takziah serta doa. Semoga Allah SWT merahmati kalian,”tulis hantaran dipercayai dibuat salah seorang ahli keluarga Pahamin.
Kosmo! semalam melaporkan Pahamin meninggal dunia akibat serangan jantung ketika dalam penerbangan ke London bagi menghadiri majlis konvokesyen cucunya, Rees Andika Pahamin.
Khabar duka itu dikongsikan sendiri menantunya Azhar Sulaiman menerusi sebuah hantaran video di Instagram.-KOSMO! O NLINE.