fbpx

Impian Jun Hao raih kejuaraan tercapai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JUN HAO (kanan) berjaya menebus kegagalannya pada 2019 apabila muncul juara pada Kejohanan Badminton Kebangsaan kali ini. – FB BAM

PERSEORANGAN lelaki negara, Leong Jun Hao menepati ramalan sebagai pilihan utama apabila muncul juara pada Kejohanan Badminton Kebangsaan di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung semalam, bekas juara remaja Asia itu dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan rakan sepasukan, Muhammad Shaqeem Eiman Shahyar 21-16, 21-13.

Jun Hao yang berpuas hati muncul naib juara pada edisi 2019 mengakui, dia merasakan satu kepuasan kerana dapat menebus kekecewaan itu walaupun saingan kali ini tidak disertai pemain-pemain terbaik.

“Saya fikir dapat gelaran ini mungkin jadi satu kepuasan kepada diri sendiri. Harapan saya adalah untuk menampilkan aksi lebih konsisten dan buat lebih baik di pentas antarabangsa.

“Pada set pertama mungkin agak sukar buat saya kerana dia (Shaqeem) memberikan cabaran yang hebat. Kemudian, saya bermain lebih agresif dan fokus sebelum meraih mata demi mata hingga tamat perlawanan,” katanya kepada pemberita selepas tamat permainan.

Untuk rekod, Jun Hao membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, pingat serta piala pusingan selaku juara, manakala Shaqeem berpuas hati dengan RM5,000 dan pingat.

Sementara itu, gelaran perseorangan wanita pula menjadi milik pemain kebangsaan, K. Letshanaa yang menewaskan rakan sepasukan, Wong Ling Ching menerusi aksi sengit dalam tiga set 16-21, 21-17, 21-19.

Gelaran sulung kebangsaan yang diraih pemain berusia 20 tahun itu nyata mengundang ke­gembiraan buatnya selain menyatakan tekad untuk menampilkan aksi lebih baik pada kejohanan akan datang.

Sebagai juara, Letshanaa berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000, pingat serta piala pusingan, manakala Ling Ching meraih RM3,500 dan pingat selaku naib juara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI