fbpx

Dadah sintetik serendah RM18 menerusi ‘dark web’ – AADK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mendedahkan dadah sintetik boleh diperolehi dengan mudah menerusi jaringan laman sesawang gelap (dark web) serendah RM18.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarahnya, Sutekno Ahmad Belon berkata, pihaknya mendapati, lebih 92,000 penagih belia lebih gemar menggunakan saluran itu bagi mendapatkan dadah sintetik.

Beliau berkata, bekalan dadah sintetik banyak dipasarkan menerusi ‘dark web’ dan ia hanya dapat diakses menerusi oleh mereka sahaja sebelum bekalan dihantar menerusi khidmat kurier.

“Kaedah itu lebih popular terutama dalam kalangan belia berbanding memperolehinya menerusi tokan dadah.

“Pesanan biasanya dibuat menerusi aplikasi sosial seperti Whatsapp dan Telegram,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) Bilangan 1 Tahun 2023 bersama KDN AADK di sini hari ini.

Katanya, pihaknya mendapati, harga dadah sintetik yang ditawarkan tidak jauh beza dengan harga pasaran namun, cara perolehannya lebih selamat dan sukar dikesan pihak berkuasa.

Sutekno berkata, pihaknya juga mendapati, penagih baharu biasanya membelanjakan sekitar RM50 seminggu bagi mendapatkan bekalan dadah sintetik dan jumlah itu kemudian meningkat bergantung kepada tahap keparahan menagih.

Justeru, katanya, pihaknya turut menasihatkan ibu bapa supaya memeriksa dan memantau bungkusan yang tiba di rumah masing-masing terutama yang dipesan oleh anak-anak remaja dan belia.

“Selain itu, kami juga akan bekerjasama dengan kementerian berkaitan perkhidmatan kurier bagi menyelia khidmat kurier sekali gus memastikan ia selamat daripada sebarang kegiatan pengedaran dadah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI