fbpx

Virus maut CCHF menular ke Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
- Doktor di sebuah hospital di wilayah Dhi Qar, selatan Iraq memeriksa pesakit yang dijangkiti virus CCHF pada 25 Mei 2022. - AFP

LONDON – Pakar-pakar kesihatan memberi amaran bahawa sejenis virus pembunuh kini merebak ke serata Eropah dan menjadi ancaman terbesar kepada kesihatan awam selepas menjangkiti penduduk di Iraq serta Namibia, lapor akhbar Mirror UK kelmarin.

Virus penyebab demam berdarah Crimea-Congo (CCHF) itu juga menyebabkan dua kematian di Pakistan, manakala beberapa kes baharu dikesan di Sepanyol.

Minggu lalu, beberapa sumber memberitahu Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Parlimen bahawa jangkitan CCHF ‘berkemungkinan besar’ akan dikesan di Britain tidak lama lagi.

Ketua perubatan veterinar di Universiti Cambridge, James Wood berkata, CCHF boleh menularkan jangkitan di Britain melalui vektor sengkenit (kutu babi).

Penyakit itu berpunca daripada nairovirus yang disebarkan oleh kutu dan menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jangkitan CCHF mempunyai kadar kematian antara 10 hingga 40 peratus.

Lazimnya, penyakit itu menjangkiti kelompok kecil penduduk dan terhad pada Benua Afrika, negara-negara Balkan, rantau Asia Barat dan Asia, demikian menurut laman berita Express.

Bagaimanapun, penyakit itu boleh merebak ke luar wilayah asalnya dan menular ke pelbagai kawasan seperti Britain dan Perancis disebabkan faktor perubahan iklim.

WHO telah menetapkan CCHF sebagai antara sembilan ‘penyakit keutamaan’ iaitu penarafan penyakit yang memiliki risiko kesihatan awam terbesar.

Antara gejala awal CCHF termasuk sakit kepala, demam panas, sakit belakang dan sendi, sakit perut serta muntah. Pesakit juga akan mengalami kesan merah pada mata, muka, tekak dan bintik merah pada lelangit.

Dalam kes teruk, pesakit akan me­ngalami penyakit kuning, perubahan emosi dan deria rasa terganggu. Apabila berlanjutan, bengkak, pendarahan hidung dan pendarahan tidak terkawal pada kesan gigitan akan berte­rusan sehingga dua minggu.

Dalam wabak CCHF yang didokumenkan, kadar kematian dalam kalangan pesakit yang dimasukkan ke hospital adalah antara sembilan hingga 50 peratus.

Iraq bergelut dengan penyakit itu pada tahun lepas apabila 212 kes direkodkan antara 1 Januari hingga 22 Mei. Daripada jumlah itu, 169 kes dilaporkan antara bulan April dan Mei.

Hampir 100 kes tambahan dan 13 kematian akibat CCHF pula direkodkan pada tahun ini. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI