JOHOR BAHRU – Pendapatan kira-kira 3,000 pengusaha udang ternakan di negara ini makin terjejas ekoran lambakan kemasukan udang import ke pasaran tempatan sejak dua bulan lalu.
Pengerusi Persatuan Industri Udang Malaysia, Syed Omar Syed Jaafar berkata, harga udang di pasaran ketika ini adalah lebih rendah berbanding kos operasi.
Menurut beliau, kerugian yang ditanggung pengusaha pula kini mencecah sehingga 40 peratus berbanding dua bulan lalu.
“Dua bulan lalu, udang tempatan masih dijual pada harga RM26 sekilogram, namun ketika ini harga pasaran sudah jatuh sehingga RM15 sekilogram.
“Situasi berlaku disebabkan lambakan kemasukan udang import ke pasaran tempatan khususnya dari Thailand dan Indonesia yang menyebabkan bekalan melebihi permintaan sedia ada,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Hotel D Elegance, Bandar Seri Alam, di sini kelmarin.
Jelasnya, ketika ini seramai lebih 3,000 pengusaha udang ternakan mengusahakan produk itu melibatkan tanah berkeluasan 12,500 hektar di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Setiap tahun, kita menghasilkan kira-kira 48,000 metrik tan udang dengan permintaan pasaran tempatan hanyalah 36,000 metrik tan. Jadi, banyak hasilnya dieksport ke luar negara.
“Namun, timbul kesukaran apabila undang-undang biosekuriti negara terbabit dikawal ketat menjadikan ia memakan masa sebelum diluluskan kemasukan sehingga menjatuhkan harga udang.
“Dalam masa sama, undang-undang biosekuriti negara ini pula memudahkan kemasukan udang import yang diisytihar sebagai ‘makanan laut’.
“Ia menyebabkan pengusaha mengalami kerugian apabila kos operasi lebih tinggi daripada harga jualan,” ujarnya.
Syed Omar memberitahu, sebelum tahun 2000, industri itu tidak berdepan masalah memandangkan udang Malaysia menampung sekitar 50 peratus permintaan udang di Thailand.
Sehubungan itu, pihaknya meminta kerajaan mengetatkan undang-undang biosekuriti negara melibatkan udang import agar setara dengan negara luar.