KEMAMAN – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terakhir tragedi kepala air Jeram Mawar yang masih hilang diteruskan hari ini dengan skala kecil hanya melibatkan 22 keanggotaan.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Azman Alias berkata, tumpuan masih diberikan terhadap sektor A dan B sejauh 25 kilometer dari lokasi kejadian sehingga kawasan perangkap sampah Sungai Pinang di sini.
“Tumpuan hari ini ialah membersihkan timbunan sisa kayu dihanyut disebabkan fenomena kepala air yang masih terdapat di sekitar lokasi pencarian. Kemungkinan mangsa (Putri Nor Fatin Karim, 14) berada di celah-celah timbunan kayu tersebut tidak boleh ditolak,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Azman memberitahu, bagaimanapun pasukan SAR masih belum mendapat sebarang petunjuk untuk mengesan jasad anak ketiga pasangan Azizah Eiyi, 40, dan Karim Abdullah, 39, tersebut.
Beliau juga meminta kerjasama penduduk tempatan yang objek dipercayai mangsa menghubungi pihak berkuasa segera bagi tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE