GEORGE TOWN – Kerajaan tidak pernah mengamalkan sebarang dasar yang menghalang kemasukan bekalan makanan import termasuk udang import ke negara ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, ini kerana Malaysia mengamalkan dasar perdagangan bebas dari segi pembekalan makanan di negara ini.
Bagaimanapun, katanya, Jabatan Perikanan serta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bersedia membantu para pengusaha udang yang terlibat dari segi pemasaran udang-udang yang diternak mereka itu.
“Selama ini Malaysia mengamalkan dasar perdagangan bebas dari segi pembekalan makanan, dan kita tidak ada halangan untuk sebarang produk bekalan makanan import.
”Dalam isu lambakan udang ini, dari segi bantuan teknikal dan pemasaran Jabatan Perikanan dan LKIM bersedia membantu mereka yang terlibat,” katanya selepas merasmikan majlis penutup Penang Fama Fest 2023, di sini hari ini.
Mengulas lanjut Foong Hin berkata, lambakan udang itu dapat memberikan kelebihan kepada pengguna di mana mereka dapat menikmati udang pada harga yang berpatutan.- KOSMO! ONLINE