PETALING JAYA – Seorang wanita meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan suaminya yang gemar ‘makan luar’ walaupun hidup mewah ditanggung isteri-isterinya.
“Sampai di sini hubungan kami. Saya tidak cukup cantik, sebab itu dia (suami) curang. Saya tidak pandai maki hamun. Apabila saya dapat tahu, saya cuma terdiam dan terkejut dengan apa yang dia lakukan.
“Saya cantik, pandai cari duit. Tetapi, semua itu tidak cukup untuk pastikan suami setia bersama hingga akhir hayat,” katanya dalam sebuah hantaran di Facebook.
Menurut wanita tersebut, dia telah memberikan dua buah kereta, dua keping kad bank dan wang tunai sebanyak RM8,000 sebulan kepada suaminya.
“Sebenarnya, selama ini, saya yang tidak membenarkan suami bekerja. Saya perlukan dia (suami) disamping saya sebagai peneman.
“Saya tak tahu apa nak cakap. Dia (suami) ada isteri pertama yang sangat tabah. Suami juga ada saya sebagai isteri kedua yang rajin mencari duit sendiri. Apa lagi yang kau mahukan wahai suami,” luahnya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-ratanya bersetuju wanita tersebut mungkin terlalu ‘memanjakan’ suami sehingga dia berani keluar dengan wanita lain.
“Mungkin ramai perempuan nampak dia hidup mewah. Sebab itu, ramai ‘penyondol’ ambil kesempatan. Moga dipermudahkan segala urusan awak ya,” kata Rania.
“Mungkin ada silap di mana-mana. Kaum lelaki ini, kita kena biarkan dia rasa susah, bukannya letak bawah ketiak kita,” Kata Chazy.
“Sebenarnya, saya tumpang gembira untuk awak. Sekarang, awak dah lepas daripada tanggungjawab bela biawak hidup. Lebih baik gunakan harta yang ada untuk tunaikan umrah atau haji. Boleh juga gunakan duit untuk bersedekah,” kata Seri
Kini, hantaran tersebut telah menerima 4,800 tanda suka dan 1,200 komen. – KOSMO! ONLINE