KUANTAN – Pasukan Selangor FC kembali mempamerkan aksi tidak konsisten selepas tewas 0-1 kepada Sri Pahang pada saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan petang tadi.
Pada aksi tersebut, skuad Gergasi Merah kendalian Tan Cheng Hoe membariskan kesebelasan terbaik dengan menyenaraikan pemain utama seperti Yohandry Orozco, Ayron del Valle dan Faisal Halim.
Namun, tuan rumah dilihat lebih garang apabila menguji kubu pasukan awal lebih awal menerusi rembatan percuma pemain import, Stefano Brundo tetapi sedikit tersasar.
Pasukan pelawat hampir menjaringkan gol pendahuluan hasil sentuhan Faisal Halim tetapi bola tendangan penyerang Selangor itu berjaya ditepis keluar penjaga gol Sri Pahang, Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin pada minit ke-15.
Bersambung pada babak kedua, skuad Tok Gajah kendalian Fandi Ahmad memperkemaskan jentera serangan dan berjay menjaringkan gol pendahuluan menerusi ledakan Kevin Ingreso ada minit ke-50.
Tersentak dengan gol tersebut, Selangor berusaha untuk mencari gol penyamaan tetapi dua pertahanan import baharu Pahang, Ruziev Kovendik dari Uzbekistan serta Rafael Silva dari Brazil cukup kebal sehingga wisel penamat.
Keputusan 1-0 kekal sekali gus Pahang mengutip tiga mata berharga di laman sendiri. – KOSMO! ONLINE