MADRID – Real Madrid dikatakan sedia untuk melakukan segala-galanya bagi membawa masuk bintang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe selepas dia bertelagah dengan pemilik pasukan, Nasser Al-Khelaifi.
Terdahulu, Al-Khelaifi memberi kata dua kepada Mbappe sama ada untuk menandatangani kontrak lanjutan atau meninggalkan PSG secepat mungkin pada jendela perpindahan musim panas kali ini.
Meskipun berminat mendapatkan khidmat Mbappe, namun tanda harga bernilai £213.47 juta (RM1.27 bilion) yang diletakkan ke atas pemain antarabangsa Perancis itu membuatkan Real agak ‘goyang’.
Justeru, Los Blancos sedia menjadikan salah seorang pemainnya, Federico Valverde ataupun Aurelien Tchouameni sebagai ‘korban’ bagi memastikan Mbappe berhijrah ke Santiago Bernabeu sebelum jendela perpindahan musim panas ditutup.
Berdasarkan perkembangan terbaharu itu, pasukan-pasukan ternama Eropah sedia mengambil kesempatan tersebut, namun Real meletakkan tanda harga sekurang-kurangnya £68.29 juta (RM408.75 juta) ke atas salah seorang pemain berkenaan.
Pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea merupakan antara yang berminat untuk mendapatkan khidmat Valverde, namun pemain antarabangsa Uruguay itu sudah beberapa kali menolak tawaran The Blues.
Bagaimanapun, sekiranya ada mana-mana pasukan yang datang membuat tawaran berbaloi, Real dijangka tidak akan menolak memandangkan mereka perlu mengumpul dana bagi mendapatkan Mbappe. – AGENSI