YAN – Penduduk Kampung Teroi Bukit, di sini telah membuat persediaan awal dengan memindahkan barangan berharga ke tempat lebih tinggi sekiranya berlaku hujan lebat melebihi sejam.
Menurut penduduk, Murad Wahab, 76, dia dan isteri, Aisyah Jaafar, 72, mengangkat semua barang termasuk barangan elektrik ke tempat selamat sebelum air masuk ke dalam rumah pada pukul 10 malam, semalam.
“Kami sudah rasa bimbang kerana hujan lebat berterusan sejak pukul 6 petang semalam dan memang sudah agak akan berlaku banjir kilat.
“Ternyata tindakan kami berbaloi apabila dapat menyelamatkan semua barang selepas rumah digenangi air sedalam 0.7 meter,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini hari ini.
Seorang penduduk, Hishamuddin Ghazali, 30, berkata, air mula memasuki rumahnya ketika dia sedang bersiap untuk masuk tidur.
“Sebelum itu saya telah mengangkat perabot dan barangan elektrik ke tempat lebih tinggi selepas mendapati paras air di tali air depan rumah mula melimpah dan memenuhi pekarangan rumah.
“Air yang turut membawa selut dan pasir halus itu kemudiannya memasuki rumah menyebabkan saya tidak dapat tidur semalaman,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Derani Ali, 74, berkata, dia juga seperti jirannya yang lain apabila membuat persiapan menyimpan barangan bagi mengelak terendam air.
“Biasanya di kawasan kampung kami, hujan lebat lebih sejam sahaja akan menyebabkan banjir kilat. Pengalaman terkesan dengan banjir kilat sebelum ini membuatkan kami sentiasa ambil langkah berjaga-jaga bagi elak rugi lebih teruk,” katanya.
Kejadian banjir kilat yang berlaku di sini pada malam semalam membabitkan 20 rumah di Kampung Teroi Bukit dan enam buah rumah di Kampung Perigi dengan paras air antara 0.5 hingga 0.7 meter.
Tinjauan di Kampung Teroi Bukit, hari ini mendapati terdapat kawasan rumah yang masih digenangi air. – KOSMO! ONLINE