AMPANG JAYA – Gara-gara ditipu individu tidak dikenali dalam urusan pembelian sebuah motosikal, seorang pemandu lori diberkas selepas membuat laporan palsu kehilangan kenderaan itu dalam kejadian di Balai Polis Ampang, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek berusia 54 tahun itu mulanya tampil membuat laporan di Balai Polis Ampang berkaitan kehilangan sebuah motosikal.
“Suspek mendakwa motosikal yang diletakkan di Flat Taman Kosas didapati telah hilang sebelum hadir membuat laporan polis sekitar pukul 8 pagi.
“Siasatan dijalankan kemudian mendapati laporan tersebut adalah palsu dan tidak berlaku kehilangan sebagaimana yang dilaporkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelas beliau, suspek kemudiannya diberkas di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya kira-kira pukul 1 tengah hari.
“Siasatan mendapati suspek bertindak sedemikian kerana telah ditipu seorang individu tidak dikenali atas pembelian motosikal, selain suspek mendakwa telah membayar RM2,000 kepada individu tersebut.
“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah,” katanya.
Jelas Mohd Azam, suspek direman tiga hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 379/182 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai diingatkan agar tidak terlibat dalam apa apa perbuatan membuat laporan polis palsu,” katanya. – KOSMO! ONLINE.