fbpx

Orang kita susah beli minyak peket, di Siam berlambak pula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Minyak peket dijual secara terbuka di sebuah kedai runcit di sempadan Malaysia-Thailand dekat Perlis.

PADANG BESAR, Thailand – Rakyat Malaysia susah membeli minyak peket subsidi satu kilogram tetapi orang di sempadan setiap minggu tambah stok.

Itulah keadaannya yang berlaku hasil tinjauan Kosmo! Ahad di lokasi bersempadan dengan Padang Besar, Perlis mendapati pelbagai jenama minyak masak peket dari Malaysia dijual di hampir semua kedai runcit di situ kelmarin.

Lebih 10 peket minyak masak dipamerkan di rak jualan bersama barangan lain di setiap premis, malah ada yang turut disimpan di bawah rak.

Pada plastik peket minyak masak tertera nama syarikat pembungkusan antaranya beralamat di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Selain itu, pada peket itu juga jelas tertulis ‘minyak masak untuk kegunaan domestik dalam negara sahaja’ dan ‘barang subsidi Malaysia’ berharga RM2.50.

Seorang peniaga wanita dikenali sebagai Fatimah, 62, berkata, minyak masak peket itu dari Malaysia dan ada beberapa individu warga Thailand yang akan membekalkannya setiap kali dia kehabisan stok.

Pelbagai jenama minyak masak bersubsidi Malaysia dijual di kedai-kedai runcit di Padang Besar, Thailand.

“Jika (minyak masak peket) habis, saya akan hubunginya untuk hantar stok baharu. Kebia­saannya saya akan tambah stok setiap minggu.

“Kami dapat daripada pembekal pada harga 36 baht (RM4.77) dan jual kepada pelanggan pada harga 40 baht (RM5.30) sepeket,” katanya di sini kelmarin.

Jelasnya, minyak masak peket itu mendapat permintaan tinggi terutama daripada peniaga makanan untuk menggoreng ayam dan kuih serta makanan lain yang memerlukan banyak minyak.

“Harga minyak masak peket dari Malaysia ini murah dan elok, kalau minyak masak botol Thailand harganya lebih mahal iaitu 77 baht (RM10.20) sebotol,” ujarnya.

Menurutnya, dia boleh membekalkannya dalam jumlah yang banyak jika ada permintaan, namun bergantung kepada bekalan daripada pembekal.

Seorang lagi peniaga wanita dikenali sebagai Aishah, 36, berkata, kebanyakan kedai runcit di situ ada menjual minyak peket tersebut.

“Jimat sikit kalau guna minyak masak Malaysia ini sebab murah. Setakat ini, bekalan perlu ditambah setiap minggu. Kalau minyak masak dalam botol dari Malaysia, kami tidak jual kerana mahal,” katanya.

Katanya, jualan minyak masak peket Malaysia adalah perkara biasa di situ dan bekalan sentiasa ada kerana sentiasa terdapat permintaan dari penduduk dan peniaga di sini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI