GEORGE TOWN – Kerajaan seharusnya mempergiatkan usaha menggalakkan kumpulan majikan di negara ini membayar gaji lebih tinggi agar pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai simpanan mencukupi ketika bersara.
Pakar ekonomi merangkap Pengarah Program MBA di Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kerajaan perlu menyelesaikan isu pokok terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan sebarang keputusan berkaitan pengeluaran KWSP berkala atau bulanan ketika mencecah usia 55 tahun.
Menurutnya, kerajaan sewajarnya mencari solusi berkesan bagi meningkatkan caruman kumpulan pekerja di negara ini menerusi kenaikan gaji bulanan yang paling minimum dan setaraf dengan situasi ketika ini.
“Dianggarkan 50 peratus pekerja pada hari ini memperoleh pendapatan kurang daripada RM2,500 gaji bulanan. Cari jalan bagaimana majikan perlu tingkatkan jumlah caruman melalui gaji yang setimpal untuk pekerja terlebih dahulu.
“Majoriti pekerja hari ini juga tidak mempunyai duit simpanan atau hanya mempunyai simpanan yang sedikit dan tidak cukup.
“Jika pekerja mendapat gaji bulanan yang tinggi, tidak kisahlah pengeluaran dibuat secara bulanan atau banyak mana sekali pun,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.
Berita berkaitan: Pengeluaran bulanan KWSP elak wang pesara ‘dibolot’ scammer
Dalam pada itu, mengulas mengenai pengeluaran berkala atau bulanan, katanya, perkara itu sepatutnya dijadikan sebagai satu pilihan kepada pencarum.
“Jika diletakkan had tertentu bagi pengeluaran wang caruman, ia harus diluluskan berdasarkan beberapa kriteria, antaranya pencarum yang masih mempunyai komitmen hutang bulanan seperti pinjaman perumahan, kereta, kad kredit dan pinjaman peribadi,” ujarnya.
Selain itu jelasnya, cadangan tersebut juga perlu diperhalusi dan mengikut lokasi dengan perbelanjaan kewangan pencarum ketika ini.