LONDON – Pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino menegaskan beliau kini adalah jurulatih yang lebih baik berbanding ketika berkhidmat dengan Tottenham Hotspur.
Pochettino menegaskan pengalaman lepas menjadikannya bertambah matang untuk menghadapi ujian lebih sukar dan sekarang hanya perlu fokus untuk menyerlahkan potensi yang ada pada dirinya.
“Pengalaman menjadikan kamu faham tentang perlawanan dan sikap. Saya seorang jurulatih yang lebih baik, saya perlu buktikan kemampuan diri dan sudah pasti ini menjadi motivasi.
“Saya fikir Liga Perdana Inggeris (EPL) adalah liga terbaik dunia dan ia jadi peluang terbaik untuk saya kembali selepas Chelsea berjaya yakinkan saya untuk meneruskan karier di sini. Saya tidak mahu bercakap tentang perbezaan dan perlu terus melihat ke depan.
“Saya kena fokus kepada apa yang dimahukan oleh kelab dan harap mampu bina hubungan baik bersama semua orang,” katanya yang bersedia untuk memberi peluang kepada Romelu Lukaku kembali menyerlah di England.
Bagaimanapun Pochettino menegaskan penyerang dari Belgium itu perlu menyertai pasukan pada Selasa atau Rabu ini dan akan segera mengadakan perbincangan empat mata.
Dalam masa sama, Pochettino juga akui dirinya tidak mempunyai banyak masa dan mahu menghadirkan impak segera seawal perlawanan pertama menentang Liverpool.
“Tiada istilah bersabar dalam bola sepak dan ia pasti sukar untuk kekal menunggu. Kami tidak boleh menanti sehingga enam bulan, sebaliknya perlu hadirkan keputusan yang positif seawal hari pertama saingan membuka tirai,” ujarnya. – AGENSI