MEMANG menjadi lumrah bagi pelajar di ambang tamat pengajian untuk mula merencana kerjaya demi survival masa depan.
Namun, kebiasaannya golongan ini juga masih tercari-cari hala tuju untuk memulakan kehidupan baharu yang penuh dengan cabaran dan onak duri sekali gus belajar erti berdikari.
Azizi (bukan nama sebenar) turut pernah merasai situasi sama beberapa tahun lalu. Cuma apa yang dilakukan pada masa lalu benar-benar membuatkan dirinya menyesal dan takut disoal di akhirat kelak.
Memulakan bicara bersama Panorama, Azizi yang kini bekerja sebagai eksekutif di salah sebuah bank di ibu kota menceritakan dirinya berasal daripada keluarga yang susah dan mempunyai ramai adik-beradik.
“Saya berasal dari keluarga yang susah dan kami ada lapan adik-beradik. Ibu bapa saya pula kerja kampung dan mengambil upah menjual kuih-muih di pasar pagi.
“Walaupun kami susah, tidak pernah lagi kami adik-beradik putus nasi. Cuma kadangkala tiada lauk atau hanya lauk sama itu biasa terjadi,” katanya yang merupakan anak sulung dan harapan keluarga.
Bercerita lanjut, Azizi berkata, dia kemudian mendapat tawaran melanjutkan pengajian peringkat diploma di universiti awam di Shah Alam, Selangor hasil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baik.
Justeru, ibu dan bapanya bergolok-bergadai dan berusaha sedaya upaya selain bekerja lebih masa serta bersengkang mata demi mengutamakan pelajaran serta masa depan Azizi.
“Jadi, alhamdulilah saya berjaya mendaftarkan diri di universiti awam tersebut dan pengajian selama tiga tahun bermula.
“Sepanjang pengajian, ada beberapa kali saya terpaksa meminta wang daripada ibu bapa untuk makan minum dan barangan keperluan lain.
“Saya juga dapat pembiayaan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selama tiga tahun dan dengan wang itu jugalah saya gunakan sebaik mungkin,” katanya.
Sudah namanya pelajar, setiap kali hujung semester, pasti masing-masing mula mengalami masalah kewangan atau kata lainnya ‘sesak’ dan terpaksa mengikat perut.
Pejam celik pejam celik, pengajian Azizi hampir tamat dan tiba masa untuknya memasuki ke fasa latihan praktikal di sebuah bank.
“Jadi, bagi menamatkan pengajian dan layak untuk konvokesyen, saya dan pelajar lain wajib menjalani latihan industri selama beberapa bulan mengikut kursus yang diambil.
“Sewaktu latihan industri tersebut atau ketika semester ketujuh, wang pinjaman PTPTN sudah tiada dan tamat setakat semester enam.
“Bilik sewa pun kami kongsi dan bayar bersama untuk berjimat. Elaun praktikal memang diberikan tetapi akan dapat lewat dan hanya sekitar RM500. Wang itu jugalah digunakan untuk makan dan keperluan lain,” ujarnya.
Terdesak dengan kos hidup dan tidak mahu membebankan keluarga di kampung, Azizi memberitahu, dia bertindak melakukan satu perkara yang paling ‘jahat’ dalam hidupnya demi survival dirinya.
Katanya, setiap kali makan tengah hari di kafeteria di bank tersebut, dia akan mengambil makanan terlebih dahulu dan makan di sudut meja paling hujung seorang diri serta segera beredar tanpa membayar.
“Saya akui apa yang saya lakukan itu berdosa dan haram hukumnya. Tetapi masa itu saya betul-betul terdesak.
“Saya tidak kisah andai kata tiada baju atau seluar baharu, namun dari segi makan minum saya tak dapat elak.
“Perbuatan terkutuk itu saya lakukan hampir tiga bulan sepanjang latihan industri berjalan. Mungkin nasib menyebelahi saya, sepanjang perlakuan itu tidak pernah sekalipun ‘kantoi’ oleh pemilik kafe mahupun orang lain,” katanya.
Pun begitu Azizi tekad bila dapat kerja yang sesuai dan sudah ada pendapatan tetap, dia mahu bayar semua apa yang dicuri dan dimakan tempoh hari kepada pemilik kafe.
Jelas Azizi, dia ada pergi ke kafe tersebut dan menceritakan segalanya kepada pemiliknya, namun semuanya dihalalkan dan disedekah pengusaha tersebut kerana faham keperitan yang dirasai.
Bahkan sebenarnya pemilik kafe tersebut sudah lama tahu akan perbuatannya itu.