AMPANG JAYA – Lelaki warga Myanmar ditahan selepas memukul isterinya sehingga cedera akibat meninggalkan anak mereka di sebuah klinik dalam kejadian di Jalan Tasik Tambahan 5/3, di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang wanita warganegara sama berhubung kejadian itu pada pukul 2 petang.
Katanya, mangsa berusia 36 tahun memaklumkan dia bergaduh dengan suami sebelum diarah menghantar anaknya ke klinik bagi mendapatkan rawatan.
“Mangsa pergi ke Klinik Taman Putra untuk mendapatkan rawatan kerana tangan anaknya gatal.
“Setelah selesai rawatan, mangsa mendapati dirinya tidak membawa telefon bimbit lalu meninggalkan anaknya di klinik sebelum balik ke rumah untuk mengambil wang.
“Sampai di rumah, mangsa berbual dengan suspek sebelum lelaki itu memarahinya, mencekik leher, menumbuk kepala dan badan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Mohd. Azam, akibat dipukul, mangsa mengalami ‘soft tissue injury’ di bahagian pipi, dahi, di lengan kiri dan di leher.
“Bertindak diatas laporan, polis menahan suspek yang bekerja pengurus pada pukul 4 petang, kelmarin. Semakan mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah dan bebas pengambilan dadah.
Mengulas lanjut, Mohd Azam memaklumkan, punca kejadian disebabkan selisih faham kerana mangsa membawa anak ke klinik sehingga menyebabkan suspek tidak berpuas hati.
“Pasangan itu merupakan pemegang kad Suruhanjaya Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR). Suspek direman selama empat hari sehingga Selasa ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” katanya.-KOSMO! ONLINE.