SEBERANG PERAI – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut dalam kebakaran di sebuah rumah flat di Taman Pantai Bersih, di sini pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian diterima kira-kira pukul 8.29 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelemat Butterworth dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kebakaran melibatkan bilik di sebuah rumah flat di tingkat dua dengan anggaran kemusnahan 20 peratus.
“Kebakaran dipadamkan sebelum pasukan tiba dan terdapat seorang mangsa kanak-kanak berusia dua tahun yang berada di dalam bilik berkenaan didapati telah meninggal dunia,” katanya di sini sebentar tadi.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE