BEIJING – Seorang ibu yang terdesak terpaksa mencampakkan bayinya dari tingkat empat sebuah apartmen ketika terperangkap dalam satu kebakaran, Rabu lalu, lapor akhbar Metro UK semalam.
Rakaman video menunjukkan saat-saat dia melemparkan bayi berusia enam minggu itu dari tepi tingkap kepada sekumpulan orang yang berada di tingkat bawah sambil memegang cadar untuk menyambut bayi berkenaan.
Kejadian berlaku di sebuah blok kediaman di daerah Yongjia, Wenzhou, wilayah Zhejiang.
Asap tebal turut kelihatan dari tingkap di belakang wanita tersebut yang sebelum itu melemparkan cadar ke bawah kepada kumpulan individu berkenaan.
Dalam video itu juga, wanita tersebut dilihat mencampak bayinya pada jarak sekurang-kurangnya 9.14 meter ke bawah unit apartmennya.
Anggota bomba bergegas ke lokasi kebakaran selepas ia berlaku secara tiba-tiba di Jalan Utara Huancheng.
Bayi tersebut dilaporkan selamat dan dibawa ke hospital untuk diperiksa. Dia dikatakan berada dalam keadaan sihat manakala pasukan bomba juga dapat menyelamatkan si ibu, nenek, beberapa kanak-kanak serta orang dewasa lain dari bangunan yang terbakar itu. – Agensi