KUALA LUMPUR – Chery Malaysia telah melancarkan dua model kenderaan utiliti sukan (SUV), iaitu Tiggo 8Pro dan Omoda 5 untuk pasaran tempatan secara serentak kelmarin.
Menurut Naib Presidennya, Wen Hsiang, dua varian ditawarkan untuk Omoda 5 pada harga bermula RM108,800, manakala Tiggo 8Pro hanya memiliki satu varian pada harga RM159,800.
“Harga yang kompetitif ini menggambarkan komitmen kami untuk menawarkan pelanggan kenderaan luar biasa yang menggabungkan gaya, prestasi dan nilai.
“Nilai luar biasa ini membolehkan pelanggan kami menikmati kemewahan, kecanggihan dan ciri canggih SUV ini,” katanya ketika majlis pelancaran model itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur malam tadi.
Tambah beliau, Chery turut menawarkan waranti kenderaan menarik iaitu selama tujuh tahun atau 150,000 kilometer (km) perjalanan.
“Bagi 3,000 pelanggan pertama, mereka akan menerima waranti enjin selama 10 tahun atau satu juta kilometer perjalanan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE