KEJUARAAN Motocross Malaysia (MMC) 2023 tampil penuh kejutan apabila seramai 69 orang pelumba cilik yang bersaing pada penganjuran MXKIDS Funrace Series musim lalu kini melebarkan sayap beraksi pada kejohanan peringkat kebangsaan tersebut buat julung kalinya.
Menariknya, perlumbaan MXKIDS Funrace Series musim lalu tersebut diberi kepercayaan oleh penganjur MMC untuk membawa acara MXKIDS ke dalam perlumbaan kebangsaan ini dengan penggunaan slogan Go BIG or Go Home sebagai taruhan bagi penganjuran edisi tahun ini.
Penganjur kejohanan MXKIDS Funrace Series, Fazril Zabidi berkata, pihaknya berbangga apabila saingan perlumbaan cilik motocross tersebut akhirnya dipertandingkan secara rasmi di peringkat kebangsaan menerusi MMC.
Katanya, perlumbaan edisi 2023 tersebut membuka tirainya di Litar Motocross Padang Ibu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam dan hari ini itu akan meliputi tiga kategori dipertandingkan iaitu MX50cc, MX65cc, MX85cc dan dua sub kategori rookie akan dipertandingkan iaitu MX50cc dan MX65cc.
“Sub kategori ini diperkenalkan untuk menarik pelumba baharu yang berminat berkecimpung dalam sukan lasak motocross ini selain dapat bersaing di tahap kategori masing-masing.
“Kejuaraan sukan lasak negara ini bakal menyajikan persaingan lebih sengit kerana semua pelumba menaruh harapan untuk berada di podium kemenangan.
“Ini kerana semua juara edisi 2022 akan bertukar kategori iaitu Muhammad Aidil Rayyan Hamdan dari kategori MX50cc kepada MX65cc, Muhammad Aqil Putra Nizam akan bersaing kelas MX85cc dan Muhammad Zhafran Aniq Muhammad Yusmizan dari kategori MX85cc kepada MX125cc.
“Dengan itu, ia membuka peluang kepada pelumba baharu untuk muncul juara bagi semua tiga kategori utama iaitu MX50cc, MX65cc dan MX85cc.
“Misi kami sejak bermulanya penganjuran kejuaraan ini sebagai platform mencungkil bakat-bakat muda dalam sukan motocross negara serta memberi peluang kepada semua mencuba sukan lasak ini mengikut tahap masing-masing,” katanya.
Terdahulu MXKIDS Funrace Series 2022, telah menerima sebanyak 132 penyertaan pelumba cilik daripada seluruh Semenanjung Malaysia dengan melibatkan empat pusingan di Selangor, Pahang, Johor dan Perak.
Orang ramai dijemput hadir bagi menyaksikan aksi hebat pelumba cilik dan merasai sendiri keterujaan perlumbaan kebangsaan ini.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut dan tayangan siaran langsung kejohanan boleh disaksikan melalui laman facebook Malaysian Motocross Champioship.