PETALING JAYA – Dorongan ibu dan sokongan isteri menjadi tunjang kekuatan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi untuk menggenggam segulung Ijazah Sarjana Pendidikan (Kepimpinan dan Pengurusan), hari ini.
Pelakon berusia 43 tahun itu berkata, pengajian yang dimulakan sejak negara berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu sebenarnya tidak mudah.
“Saya mula belajar ketika PKP dengan banyak cabaran dan halangan ketika itu. Syukur hari ini dapat juga habiskan pengajian berkat sokongan keluarga, isteri, anak-anak dan juga ibu saya.
“Ibu tunjang utama kekuatan dan dia pembakar semangat untuk saya terus berjuang mencapai impian meraih pendidikan setinggi mungkin,” luah Zed yang selamat menerima Ijazah Sarjana dalam majlis konvokesyen yang berlangsung di Universiti City, pagi tadi.
Zed Zaidi atau nama lengkapnya Rozaidi Abdul Jamil menyifatkan ijazah tersebut sangat signifikan dan dekat dengan peranannya sebagai NGO dan guru lakonan.
“Akhirnya saya dapat menggenggam ijazah sarjana dalam bidang yang dekat dengan kerjaya saya. Lega rasanya apabila mampu menamatkan pengajian satu tahun itu.
“Pencapaian ini amat dekat dengan apa yang saya perjuangkan, kepimpinan dan pengurusan ini sangat penting untuk saya memandangkan saya ahli NGO dan guru lakonan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.
Pada masa sama, pelakon filem Pontianak Menjerit itu berharap agar pencapaian tersebut menjadi contoh kepada anak-anak serta ahli bawah didikannya.
“Tujuan saya antara lain adalah untuk menjadi contoh kepada insan sekeliling, maksudnya kepimpinan melalui teladan, jadi apabila saya boleh buat (sambung ijazah sarjana), ahli jawatankuasa NGO, anak-anak saya akan terinspirasi dengan pencapaian ini.
“Moga pencapaian saya hari ini akan menjadi penyebab kepada orang ramai untuk terus mencapai kejayaan ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya. – KOSMO! ONLINE