fbpx

Young Tigers enggan calar rekod bersih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MALAYSIA (jersi kuning) akan bertemu Western Australia dalam aksi terakhir empat siri persahabatan di Stadium Hoki Nasional petang ini. - FARIZ RUSADIO

KETUA jurulatih skuad hoki remaja lelaki negara, Muhamad Amin Rahim tidak mahu barisan pemainnya terlalu selesa meskipun melakar kemenangan besar 7-3 ke atas Western Australia (WA) di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.

Menariknya, pesta gol tersebut adalah kemenangan ketiga berturut-turut skuad Young Tigers ke atas WA selepas terdahulu menewaskan lawan dari Australia itu dengan keputusan 3-1 pada Selasa dan Rabu lalu.

Sehubungan itu, Amin menggesa anak-anak buahnya agar meningkatkan permainan terutama organisasi pertahanan yang masih gagal mengekalkan gawang tanpa bolos dalam tiga aksi persahabatan sebelum ini.

“Agak menurun sedikit (prestasi) di suku pertama kerana mereka dalam blok latihan fizikal. Mereka mula rasa sakit tetapi saya selalu ingatkan ini adalah blok latihan, jadi tiada kompromi dan ini yang perlu dilalui.

“Sudah tentu setiap perlawanan ada kelemahan atau kesilapan yang berbeza-beza. Secara keseluruhan, kita kena tambah baik daripada organisasi pertahanan sebab kalau tengok di ketiga-tiga perlawanan kita bolos gol.

“Namun, banyak peningkatan juga ditunjukkan dan paling saya gembira hari ini (semalam) adalah keupayaan kita meledak jaringan padang. Satu petanda positif dan saya harap momentum ini berkekalan,” katanya.

Young Tigers berjaya meledak tiga gol melalui pukulan sudut penalti dan dua daripadanya disempurnakan Saiful Shahril Saiful Bahri (m-18, m-47) selain satu menerusi Muhammad Amirul Aiman Ariffin pada minit ke-21.

Tiga gol padang skuad negara hadir menerusi Harris Iskandar Osman pada minit ke-25, Mughni Mohamad Kamal (m-28) dan Che Nur Aqilrullah Che Mohd. Khairulzi Anwar (m-45) selain satu jaringan daripada pukulan stroke daripada Faris Harizan (m-34).

Skuad negara akan turun menentang WA sekali lagi petang ini bagi melengkapkan empat siri persahabatan itu yang diatur sebagai persediaan menghadapi Piala Dunia Remaja di Kuala Lumpur pada Disember depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI